Monday 25 July 2011

PROGRAM PEMUTIHAN 6P (PENDATANG TANPA IZIN )

APAKAH PROGRAM 6P?
Program 6P adalah singkatan bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ia adalah satu pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) sebagai pendekatan terkini oleh Kerajaan untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN 6P?
Angka enam (6) pada nama Program 6P itu membawa maksud kepada enam peringkat pelaksanaan yang akan digerakkan sepanjang tempoh program ini, bermula dengan
PENDAFTARAN, PEMUTIHAN, PENGAMPUNAN, PEMANTAUAN, PENGUATKUASAAN dan PENGUSIRAN.



APA YANG AKAN DILAKUKAN KERAJAAN PADA SETIAP PERINGKAT TERSEBUT?


PERINGKAT 1: PENDAFTARAN
Pada peringkat ini, proses pendaftaran akan dilaksanakan untuk tujuan mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia, dan menerusi kaedah ini, Kerajaan berpeluang mendapatkan maklumat majikan PATI, selain rekod peribadi serta data biometrik PATI yang merupakan elemen teras bagi rasional pelaksanaan program ini. Tindakan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing di Malaysia, sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.

PERINGKAT 2: PEMUTIHAN
Pada peringkat ini, setiap PATI yang telah berdaftar menerusi program ini akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing. Jika hasil pertimbangan mendapati PATI yang terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Bagaimanapun, proses pemutihan ini hanya akan dipertimbangkan untuk sektor serta sumber negara yang tersenarai dalam dasar penggajian pekerja asing dan yang pernah diberikan kebenaran khas kerajaan termasuk sub-sektor yang sedang dibekukan. Pada masa yang sama, proses pemutihan ini juga akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.

PERINGKAT 3: PENGAMPUNAN
Pada peringkat ini PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan, atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Bagaimanapun, pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen sahaja.

PERINGKAT 4: PEMANTAUAN
Pada peringkat ini, naziran ke premis-premis majikan seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan, selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P. Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1 juta.

PERINGKAT 5: PENGUATKUASAAN
Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.

PERINGKAT 6: PENGUSIRAN
Di peringkat terakhir ini, PATI yang telah ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari Negara ini. Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan Kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.

  SIAPAKAH YANG PERLU MENDAFTAR BAGI PROGRAM 6P INI?
Berikut adalah empat kategori warga asing yang perlu mendaftar/didaftarkan:
  1. Semua warga asing yang telah masuk ke Malaysia tanpa izin dan kini tinggal serta bekerja di Negara ini secara tidak sah;
  2. Semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan;
  3.  Semua warga asing yang telah menyalahgunakan permit masuk, pas atau dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan;
  4.  Semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia.
ADAKAH TANGGUNGAN PATI JUGA PERLU DIDAFTARKAN?
Jika tanggungan PATI bertaraf bukan warganegara, maka mereka juga perlu didaftarkan. Bagaimanapun, untuk proses selanjutnya, mereka perlu pulang dahulu ke negara asal bersama ibu atau ayah masing-masing sebelum masuk semula ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial untuk tujuan melawat bagi tempoh dibenarkan.



APAKAH ADA BAYARAN UNTUK PROSES PENDAFTARAN?
Tiada – jika pendaftaran dibuat di pejabat Imigresen.
Ya – caj perkhidmatan akan dikenakan jika pendaftaran dibuat dengan syarikat pengurus. Senarai bayaran akan dimaklumkan kelak.

APAKAH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN KETIKA PENDAFTARAN?
Berikut adalah senarai maklumat yang akan diambil ketika proses pendaftaran:
i. Nama;
ii. Gambar;
iii. Cap 10 jari tangan kanan dan kiri;
iv. Nombor passport/dokumen perjalanan;
v. Waeganegara;
vi. Jantina;
vii. Tarikh lahir;
viii. Maklumat majikan (nama, no. kad pengenalan, nombor telefon, alamat, e-mel, dan sektor pekerjaan);
ix. Pengesahan kebenaran maklumat oleh majikan; dan
x. Tujuan mendaftar – sama ada untuk bekerja (diputihkan), untuk pulang ke negara asal (diampun dan tidak dikenakan tindakan/hukuman); atau lain-lain tujuan.

SIAPAKAH YANG AKAN MENGURUSKAN URUSAN PENDAFTARAN 6P INI?
Selain pihak Imigresen, Kerajaan turut melantik sekumpulan SYARIKAT PENGURUS untuk membantu urusan pendaftaran PATI sepanjang tempoh pelaksanaan program ini. Tawaran untuk permohonan telah dibuka kepada umum menerusi iklan khas pada 7 hingga 10 Jun lalu dan sehingga ditutup, sejumlah 1,350 permohonan diterima. Keputusan pemilihan akan diputuskan satu jawatankuasa khas yang diangotai 17 wakil daripada pelbagai bahagian seperti senarai berikut:
i. Kementerian Dalam Negeri (KDN);
ii. Jabatan Imigresen;
iii. Kementerian Sumber Manusia (KSM);
iv. Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia;
v. Polis Di Raja Malaysia (PDRM);
vi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.



Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi nombor yang tertera:
016-2286392/012-2008174/016-2286285/03-89939840/016-2115871

No comments:

Post a Comment